PELUKAN
- Khalilah Salleh
- Jun 4, 2022
- 3 min read
''Eh aku lapar lah nis"
"Jom kita ke kantin"
Itulah dialog kami di pagi hari jika tiada kelas di awal waktu persekolahan bermula. Sesuai dialog tersebut terpancul daripada mulut masing. Aku yang hanya memakai T-shirt pada hari tersebut terus membuka langkah luas menghala ke kantin sekolah bersama dua lagi rakan seinternship yang lain, Su dan Jah.
Setelah tiba di kantin sekolah, kami mendapati kantin tersebut telah kehabisan makanan. Jam di tangan baru menunjukkan 9.20 pagi. Sungguh awal makanan dihabiskan oleh guru-guru yang lain. Mungkin terlalu lapar di malam hari sehingga semua licin laukknya. Aku meneka di benak fikiran. Lalu tanpa melengahkan masa , perut pun dah berkeroncong. Kami mengambil keputusan untuk hanya membeli makanan yang telah dibungkus dan disusun untuk dinikmati oleh murid-murid. Bermacam-macam jenis makanan yang ada antara mee goreng, kue tiau goreng, nasi goreng. Yang semua goreng-goreng. Nugget tempura jangan dilupa. Kami pun hanya membeli apa yang ada sahaja lah. Itu sahaja rezeki yang ada. Pesan pada diri hidup ini kena sentiasa bersyukur. Tiada bezanya makanan murid ke makanan guru asalkan boleh dimakan dan dapat memberi tenaga untuk mengajar. Syukur Alhamdulillah.
''Jom lah kita duduk di luar, murid pun belum waktu rehat lagi" kata Jah.
Semua yang lain berpandangan dan hanya bersetuju sahaja. Jadi kami memulakan suapan pertama di meja batu bulat yang berada di bahagian hadapan kantin di mana lokasi tersebut adalah lebih terbuka dan juga ruang makan untuk murid. Semasa makan juga tidak lama kemudian, aku melihat beberapa orang murid berlari menuju ke meja yang telah menempatkan makanan-makanan yang dijual. Laju betul murid-murid berlari. Takut sekali makanannya habis. Larian kamu sama macam kebimbangan Cikgu di awal-awal perut berkeroncong tadi. Ya sedap. Memang sedap kalau kita kelaparan. Cikgu faham perasaan kamu nak.
"Jangan berlari. Jangan berlari. Beratur murid-murid"
kuat suara Su dilontarkan supaya murid tidak lagi berlari dan beratur pada garisan yang disediakan. Namun ada segelintir lagi masih degil dan masih berlari dengan pantasnya.
Aku yang melihat kelakuan tanpa berfikir turut serta melontar suara.
"Lari lah kuat lari. Kuat lagi larinya"
Tiba-tiba suara ketawa rakan-rakan seinternship bergema mengisi ruang kantin tersebut. Aku masih terpinga-pinga. Tak lama kemudian barulah tersedar loghat Kelantan aku yang pekat tersebut telah terbawa-bawa dalam melarang murid-murid berlari di kantin setelah diberikan penjelasan.
"Kelate jah lari kuat. Bukan lari kuat, lari laju"
"Hahahahahhaha"
aku pun turut ketawa sambil memegang perut kerana ingin menutup rasa malu dek kepekatan loghat negeri tercinta iaitu loghat Kelantan.
Sesuai makan, kami ingin beredar ke kelas masing-masing bagi melunaskan tanggungjawab mengajar subjek Sains dan Rbt bagi kelas yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir. Namun sebelum melangkah pergi, kami membuat bayaran pada pekerja kantin kerana perut yang terlebih berkeroncong mengakibatkan kami untuk makan terlebih dahulu sebelum membuat bayaran. Seusai bayaran dibuat, kami berjalan bergandingan ke kelas.
Tiba-tiba aku terkejut dengan kehadiran seorang murid bersama pelukannya dan memberhentikan langkah panjangku. Murid tersebut memeluk, mendongak sambil berkata
"Cikgu Khalilah, cikgu saya tak pakai tanda nama murid RMT. Bolehkan saya mengambil makanan?
Aku tanpa berfikir panjang memarahinya
"Eh awak ni kenapa peluk peluk cikgu. Awak murid, cikgu ni cikgu.
Jangan peluk sesuka hati !
"Awak boleh sahaja mengambil makanan RMT tanpa tanda nama RMT"
Situasi aku dan murid tersebut diam seketika. Nis memandang dan ketawa. Aku masih diam.
Aku bermonolog.
"Adakah angkuh perkataan tersebut, adalah jawapan aku tersebut sesuai atau adakah nada aku berbentuk nasihat atau memarahi agar murid tersebut lebih menghormati. Ah melebih betul fikiran ini"
Aku berjalan pergi dan menoleh seketika melihat murid tersebut yang sedang mengambil makanan RMTnya sambil tersenyum. Mungkin tindakannya untuk memeluk aku adalah untuk mencari keberanian bagi mengambil makanan yang sememangnya haknya meskipun tiada tanda nama RMT. Murid meminta izin dengan seorang guru untuk menjamah makanannya. Meminta izin itu tindakan yang mahal. Aku hargai dan aku berfikir kembali jika aku ditempatnya mungkin aku akan melakukan hal yang sama kerana andainya aku tidak bertanya dan berbuat sedemikian, makanan RMT tersebut bukan rezekiku pada hari tersebut dan aku akan pulang kelaparan. Pelukan itu tanda izin bersama keinginan mengisi perut yang berkeroncong. Rasa berkeroncong sama seperti Cikgumu di pagi hari. Santunilah muridmu dengan baik kerana perutnya turut perlu diisi agar terus bertenaga meraih ilmu di bilik darjah nanti.

Kels. Kantin.
Comments